Meraih Kemenangan
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam kepada nabi terakhir, nabi Muhammad serta keluarga baginda, sahabat, para tabi'en dan orang-orang yang mengikut jejak langkah rasulullah yang ta'at lagi patuh hingga ke akhir zaman.
Tanpa usaha yang gigih, kita mungkin tidak akan mampu melawan musuh yang datang, baik daripada diri kita sendiri mahupun musuh-musuh dari luar. Musuh dari dalam datang dalam bentuk yang kadang2 tidak kita sedari. Bisikkan iblis dan hasutan daripada nafsu adalah musuh utama yang perlu kita lawan.
Musuh yang datang dari luar pula adalah seperti kawan2 yang mengajak kepada jalan maksiat, melalui media, persekitaran, barang-barang, teknologi, majalah2 yang bukan islami dan banyak lagi.
Kedua-dua musuh akan sentiasa memujuk rayu, memukau, menipu dan memberikan gambaran yang songsang mengenai islam sehingga satu tahap, manusia akan memandang baik perbuatan maksiat ataupun kejahatan yang dilakukannya.
Ini terjadi jika kita tidak mempunyai benteng ataupun kekuatan diri yang mantap dan jika ini dibiarkan, kita akan lebih dibuai oleh nikmat dunia yang akan disergah oleh Allah bila-bila masa sahaja.
Kekuatan diri yang dimaksudkan disini ialah iman. Dengan iman, manusia mampu melawan segala mainan syaitan yang sebenarnya sangat mudah untuk dilawan. Tetapi, kebanyakan daripada kita sangat mudah tertipu dengan tipu daya syaitan. Sebagai contoh, walaupun rumah berdekatan dengan masjid, iblis akan membisikkan, "Tidak perlu ke masjid, ianya adalah sunnah, janganlah menjadikan sesuatu yang sunat jadi wajib!".
Ada diantara kita yang mungkin pernah merasa bahawa kita seakan-akan dibisikkan oleh sesuatu. Kita perlu sedar bahawa segala bisikan yang menyuruh kita daripada menjauhkan diri daripada Allah ataupun untuk membelakangi sunnah rasulullah, itulah bisikan syaitan..Allah Maha Mengetahui segala sesuatu yang ghaib.
Kenapa kita perlu menguatkan iman yang sudah kita didik? atau kenapa seseorang manusia itu perlu ada iman?
Kerana jika kita perhatikan yang diriwayatkan oleh imam muslim dari Anas bin Malik r.a. katanya, Rasulullah bersabda: Surga dikelilingi dengan segala yang tidak disenangi hawa nafsu, dan neraka dikelilingi oleh segala yang disukai hawa nafsu."
Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa jika kita ingin meraih syurga, ertinya, kita perlu mengawasi setiap keinginan yang dimahukan oleh nafsu. Dengan kata lain, sesiapa diantara kita yang suka mengikut hawa nafsu mereka, maka, neraka adalah lebih berhak baginya.
Akan tetapi, jika seseorang itu mampu menahan segala mata, telinga, lidah, perut, kaki, tangan, hati dan semua panca indera daripada mengikut apa yang disukai oleh nafsu, maka, Allah Ta'ala akan membalas orang tersebut dengan syurga.
Oleh kerana itu, demi untuk menjaga diri kita daripada tertipu dengan hawa nafsu dan godaan/bisikan iblis, kita perlu menjaga dan memastikan yang iman yang ada (insha Allah) berada di paras yang teguh. Teguh baik dari segi jasmani, rohani dan akal.
Jika acuannya tidak setara, ketidakseimbangan akan terjadi dan tidak secara langsung akan mengakibatkan iman kita menjadi goncang apabila badai menimpa. Ketiga-tiga perlu lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Memandangkan kehidupan kita sekarang dikelilingi oleh bermacam jenis hiburan yang melalaikan kita daripada mengingat Allah, sebab itulah kita perlu memastikan iman kita sentiasa segar dan tidak terancam dengan kejahatan yang ada pada diri kita dan ancaman luar kerana iblis dan tentaranya akan berusaha untuk memesongkan anak adam daripada masuk syurga Allah, iaitu kemenangan yang kekal abadi.
Orang yang cerdik ialah mereka yang menggunakan dunia untuk mendapatkan akhirat dan orang yang celaka ialah mereka yang menggunakan dunia untuk melupakan akhirat.
Wallahu'alam Read On......