Thursday, August 2, 2007

Mati bagaimana yang kita mahu?

Allah, pengampun segala dosa baik kecil atau besar. Tuhan tidak akan mengampuni dosa sesama manusia. Jika kita pernah mengata seseorang tanpa pengetahuannya sebagai contoh, Tuhan tidak akan campur tangan dengan dosa di antara kita dan orang tersebut. Hidup tanpa mengata seseorang adalah keputusan terbaik yang diambil oleh seseorang manusia.

Manusia secara kebiasaan akan mengatakan sesuatu yang kita benci atau sesuatu yang menggangu kepada kita kepada orang yang berada di sekeliling kita pada masa itu. Sebenarnya, setiap sesuatu cobaan yang hadapi baik yang baik dan buruk adalah datang dari Tuhan. Setiap kejahatan yang kita lakukan akan dibalas oleh Allah setimpal dengan kejahatan tersebut dan jika sekiranya Allah memaafkan kesalahan kita, insya Allah, kesalahan tersebut tidak akan dibalas. Dan, setiap kebaikan dan kebajikan yang kita lakukan akan dibalas 10 lagi ganda atau lebih oleh Allah SWT.

Kita sebagai manusia yang mempunyai fikiran yang waras boleh memerhatikan betapa baik Maha Pencipta kepada kita. Manusia secara amnya akan berpendapat bahawa jika kita menderma sebanyak $10.00 akan hilang begitu sahaja dan tidak mampu memikirkan balasan yang akan diberi tanpa diduga oleh Allah. Allah berkemampuan untuk memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya dan mengambil rezeki yang telah dicurahkanNya kepada manusia. Dia juga mampu untuk memberikan rezeki kepada manusia dengan jalan yang tidak diduga kerana Dialah Tuhan yang Maha Kuasa.

Manusia yang telah dianugerahkan mata, telinga dan hati untuk melihat, mendengar dan me'rasa' kebesaran Allah akan mendapati banyak tanda2 dan pengajaran yang boleh didapati dari alam ini. Malapetaka yang menimpa kepada umat dahulu ataupun kejadian manusia itu sendiri boleh mengajar kita untuk lebih berhati-hati semasa keberadaan kita di muka bumi Allah yang bersikap tipuan dan sementara ini. Sebagai umat Islam, kita wajib memerhatikan dan memikirkan perkara2 yang boleh mengelak kita daripada melakukan maksiat kepada Allah.

Salah satu pengajaran yang manusia patut ambil berat ialah kematian. Telah difirmankan oleh Allah di dalam Al Qur'an bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati...Tidak siapa yang mampu menolak kedatangan Malaikat maut dan tiada sesiapa yang akan dapat lari daripada kematian. Kematian tidak akan memilih pangkat, martabat, kuasa dan berapa duit yang kita ada kerana ianya adalah sesuatu yang PASTi akan kita hadapi. Orang di antara manusia yang akan coba untuk mencari cara untuk hidup untuk selama-lamanya. Perkara ini adalah sesuatu yang mustahil kerana ianya bertentangan dengan dalil yang telah disebutkan sebelum ini.

Rasulullah SAW pernah bersabda (kira2 berbunyi) menyatakan bahawa kematian itu sepatutnya sudah cukup untuk menyedarkan manusia daripada melakukan maksiat dan kejahatan. Daripada hadis ini, kita boleh membuat kesimpulan bahawa kematian ialah sesuatu yang sangat mengerikan, sesuatu yang sangat mengerunkan, sesuatu yang mengoncangkan diri kita yang serba kekurangan ini. Bagi sesiapa yang mempunyai hati yang sudah keras akan masih mampu ketawa terbahak-bahak apabila ada salah seorang daripada ahil keluarga ataupun sahabat handai yang telah meninggal dunia. Adalah dinasihatkan kepada sesiapa yang terasa agar kembail bertaubat kerana hati yang rosak akan susah untuk diperbaiki.

Salah satu sikap yang mesti kita ada semasa kematian menimpa sesuatu keluarga ialah dengan cara bersifat simpati kepada keluarga si mati. Kita boleh melakukan ini dengan berbagai-bagai cara, iaitu dengan mengucapkan takziah kepada mereka ataupun dengan cara tidak membuat bising semasa ahli keluarga sedang memandikan, mengkafankan dan juga menyembahyangkan si mati. Sebenarnya, banyak lagi etika yang sepatutnya ketahui semasa kita berada di rumah keluarga si mati. Kita, kalau boleh menyedekahkan zikir, surah ataupun mendoakan agar Allah mengurangkan seksa yang bekal diterima oleh si mati.

Setiap diri ingin mati dalam keadaan yang baik (khusnul khotimah) dan bukan mati dalam keadaan yang tidak baik (suu ul khotimah). Tapi adakah kita berusaha untuk mendapat mati dalam keadaan yang baik? Tidak mungkin seseorang itu akan mati dalam keadaan yang diredhai oleh Allah dengan cara lafaz sahaja kerana ianya mesti diiringi dengan usaha yang jitu. Sama juga halnya dengan perkara2 yang lain. Untuk mendapatkan sesuatu kita selalunya akan berusaha bersungguh untuk meraih kejayaan atau mendapati sesuatu yang kita ingini.

ANGAN-ANGAN KOSONG ADALAH BAGI MEREKA YANG TIDAK BERFIKIRAN WARAS (BODOH)

Sebagai umat Islam, kita hendaklah berusaha, berdoa dan berserah diri kepada Allah kerana semua urusan baik dunia dan akhirat akan kembali kepada Allah. Sama halnya seperti mati. Jika kita menginginkan kematian yang baik, kita hendakalah mematuhi titah perintah Allah yang Maha Kuasa dan menjauhi segala perkara yang dilarangNya baik yang kecil, apalagi yang besar. Jadi, bagi meraka yang ingin mati dalam keadaan yang baik hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah dan berusaha untuk mencapai maksud demikian. Bagi sesiapa yang "ingin" mati dalam keadaan yang tidak baik pula, bolehlah menghiasi diri pelbagai maksiat dan kejahatan agar berita gembira yang menanti di kubur dan di akhirat akan lebih panas. Wallahu'alam.



Read On......