Thursday, July 12, 2007

Berjiran Dengan Masjid



Puji-pujian kepada Tuhan yang kekuasaanNya meliputi seluruh langit dan bumi dan apa jua yang ada di antara duanya. Dialah yang mengetahui apa yang manusia lakukan baik di waktu pagi, petang ataupun di waktu malam. Allah tahu apa yang berlaku pada setiap detik dan tahu akan segala isi hati setiap hamba-hambaNya. Tiada siapa yang akan dapat lari daripada berjumpa denganNya. Mereka yang mengharapkan pertemuan dengan Allah akan sambut kita dengan keadaan riang gembira dan barangsiapa yang enggan untuk berjumpa denganNya akan mendapat layanan yang sangat hina di hadapanNya kelak.

Pengertian bagi sesiapa yang beria-ia untuk berjumpa dengan Tuhan ialah mereka yang melakukan amal saleh keranaNya dan menjauhi apa yang telah diharamkan baginya. Dan ketinggalan juga mereka yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Allah. Mereka ini adalah orang-orang yang tidak mengerjakan kewajipan yang telah digariskan dalam Islam. Tanpa disedari, setiap jiwa sebenarnya terikat dengan pautan Allah dengan secara tidak langsung. Ikatan inilah yang akan dituntut oleh Allah SWT semasa di akhirat kelak terutama sekali bagi mereka yang beragama Islam. Sebagai orang Islam, kita ada perjanjian dengan Allah, iaitu perjanjian untuk mematuhi suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Perkara yang pertama-tama yang akan disoal oleh Allah ialah tentang sembahyang seseorang itu, Jika sempurna sembahyang orang itu, maka bergembiralah dia. Jika tidak, maka, dengan izin Allah, hancurlah dia di api neraka yang api jauh lebih panas dari sinaran matahari.

Rasul kesayangan kita, Nabi Muhammad saw sering kali mengingatkan umatnya untuk menjaga sembahyang fardhu lima waktu. Banyak manusia yang sembahyang tetapi masih melakukan maksiat (membuka aurat) kepada Allah. Ini bukanlah sembahyang yang sebenar-benarnya. Jika seseroang itu melakukan sembahyang dengan sempurna, maka, ‘insya Allah, kita akan dapat melawan segala godaan syaitan baik dari golongan jin atau manusia dengan mudah. Inilah yang dikatakan dengan kekuatan iman. Iman ialah sesuatu yang amat susah dikecapi, lebih susah daripada mendapat kelulusan kedoktoran dan lebih susah daripada mencapai puncak gunung everest. Ianya juga mengambil masa yang sangat lama dan ianya memerlukan ketekunan yang amat dalam. Bagi orang biasa, mereka akan mengerjakan sembahyang kerana takut kepada siksa api neraka dan kerana berkehendak kepada ni’mat Allah, iaitu syurga. Tapi bagi orang yang luar biasa, mereka mengerjakan amal saleh semata-mata untuk mendapat keredhaaNya.

Sebagai perbandingan, seorang lelaki yang ingin mengahwini wanita yang diidami akan berbuat apa yang termampu untuk menarik perhatian wanita tersebut dan akan sanggup mengadai jiwa dan raga untuk mendapat cinta wanita itu. Lelaki itu akan sanggup membelikan barang-barang yang disukai oleh wanita itu, akan sanggup untuk melayan kerenah wanita dan bermacam-macam lagi. Kita adalah ciptaanNya dan Allah, Dialah yang menciptakan kita semua. Langkah-langkah yang lebih jauh perlu dibuat untuk mendapat cinta dan kasih sayang Allah. Terdapat banyak di antara wali-wali Allah (kekasih Allah) yang telah mendapat maksud sedemikian. Mereka terpaksa menempuh berbagai cobaan untuk meraih cinta RabbNya. Mereka akan berusaha siang dan malam untuk menghampiri Allah dengan berbagai cara. Seperti ber’itikaf di dalam masjid, membaca Al Qur’an dengan bunyi yang syahdu, berpuasa, bersedekah secara sembunyi, beribadat diwaktu orang lain sedang nyenyak tidur. Sebenarnya terdapat banyak cara bagi kita hamba-hambaNya untuk meraih cinta yang sejati. Yang perlu difahami disini ialah, cinta kepada Allah ialah cinta yang akan membuat kita mudah menjalani hidup ini dan ianya juga akan memudahkan perjalanan pertemuan denganNya kelak. ‘insya Allah.

Salah satu perkara yang membolehkan kita hampir dengan Allah ialah dengan bersembahyang berjemaah. Rasulullah pernah besabda bahawa sembahyang yang dibuat dengan cara berjemaah akan mendapat 25 atau 27 kali ganjaran berbanding dengan orang yang mengerjakan sembahyang secara seorang diri. Perkara yang kebanyakan kita tidak sedari ialah sembahyang berjemaah sepatutnya dikerjakan dirumah Allah (masjid) kerana tidak ada hadis yang mengatakan bahawa sembahyang jemaah itu dilakukan di rumah. Wallahu’alam.

Perkara yang ingin ditekankan di dalam artikel ini ialah mereka yang berjiran dengan masjid. Banyak yang berpendapat bahawa sembahyang dimasjid itu adalah sunat kerana sembahyang di masjid adalah sunnah Rasulullah tapi ianya akan menjadi kewajipan apabila rumah orang itu berdekatan dengan masjid. Lebih terperinci lagi ialah rumah yang apabila azan dilaungkan, mereka akan dapat mendengar panggilan tersebut. Rasulullah saw pernah bersabda yang kira-kira berbunyi, hampir saja aku kumpulkan kayu untuk membakar rumah mereka yang sembahyang di rumah mereka sedangkan masjid dekat dengan rumah mereka. Semoga Allah mengampuni dosa kita semua.

Perumpamaan orang yang bersembahyang di rumah sedangkah laungan azan dapat didengar adalah seperti orang yang sembahyang tanpa membaca Surah Fatihah. Subhanallah. Allah telah berjanji kepada penganutnya bahawa sesiapa yang sentiasa mengerjakan sembahyang lima waktu berjemaah, mereka akan masuk syurga tanpa hisab. Alangkah gembira mereka ini. Perlu diingat bahawa kewajipan untuk pergi ke masjid adalah dikhususkan untuk lelaki kerana berdasarkan hadis Nabi Muhammad bahawa sebaik-baik tempat sembahyang bagi orang lelaki ialah di masjid dan bagi perempuan pula ialah ditempat yang paling sunyi di dalam rumahnya.

Dewasa ini, kita boleh perhatikan berapa ramai manusia yang ‘lalai’ dan alpa dengan masjid. Ada juga yang kadang-kadang tidak peduli langsung dengan masjid sedangkan masjid adalah rumah Allah dan malaikat akan memohonkan ampun kepada Allah bagi sesiapa yang berada di dalam masjid dalam keadaan tidak berhadas. Ada mereka yang lebih mementingkan dengan makan, merehatkan badan, membeli belah dan sebagainya. Inilah yang dikatakan dengan orang-orang yang lalai dengan kehidupan dunia yang penuh dengan sandiwara. Orang macam inilah yang akan mengundang kemurkaan Allah. Jika bukan kerana orang yang bersembahyang di masjid, maka, bala Allah akan turun dengan mencurah-curah. Di dalam hadis qudsi telah menyatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda, “jika bukan kerana orang yang bersembahyang di masjid, maka, Allah akan menurunkan bala ke dunia”. (semoga Allah mengampuni dosa dari segi perbuatan/ucapan yang kita tidak diketahui)

Setiap jiwa akan dibalas dan bagi mereka yang berjiran dengan masjid akan disoal tentang kenapa mereka tidak menghadiri masjid. Alasan apakah yang hendak kita berikan? Allah telah memberikan kita segala kemudahan, kenderaan yang laju, masa yang lapang, jalan yang teratur dan masjid yang selesa. Kita sebagai hamba Allah sepatutnya menunjukkan syukur kepada Allah dengan membawa badan kita ke masjid agar Allah lebih sayang dan cinta kepada kita. Jika difikirkan, keadaan orang-orang dahulu lebih teruk dari segi, jalan yang dipenuhi oleh hutan belantara dan semak samun serta banyak halangan perlu ditempuh seperti binatang buas dan sebagainya. Dengan izin Allah jua, mereka dapat pergi ke masjid tanpa halangan. Semua kekuasaan terletak di tangan Allah dan tiada apapun yang dapat memudarat kita tanpa izinNya. Untuk menguatkan lagi hujah di atas, mari kita perhatikan hadis Rasulullah berikut:

Abu Hurairah ra berkata, seorang lelaki buta datang berjumpa dengan nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya tidak ada penunjuk jalan untuk memimpinku ke masjid”, seraya meminta rukhsah daripada Rasulullah SAW untuk diringankan baginya solat berjemaah dengan hanya solat bersendirian di rumah, maka nabi SAW memberikan keringanan kepadanya. Apabila dia berpaling nabi SAW memanggilnya kembali dan bertanya: “Adakah kamu mendengar seruan solat (azan)?” Jawab lelaki tersebut: “Ya!”, sabda Nabi SAW: “Maka hendaklah kamu menyahutnya (datang solat berjemaah)”. [HR Muslim]

Apakah pula alasan bagi mereka yang mempunyai pancarindera yang sempurna? Yang dapat berjalan tanpa memerlukan bantuan siapa-siapa? Semasa hari tua Rasulullah saw. Baginda pernah menyuruh salah seorang dari sahabatnya untuk memapahnya ke masjid sehinggakan kaki Baginda menyecah ke tanah. Salah seorang daripada sahabat setia Nabi bertanya kenapa Baginda berbuat demikian. Rasulullah lalu mengatakan bahawa Baginda ingin menekankan betapa pentingnya sembahyang berjemaah itu. Banyak manusia sekarang berpendapat bahawa masjid adalah untuk orang-orang yang sudah bersara. Pendapat ini adalah pendapat yang akan membuat sesebuah negeri itu diturunkan bala. Siapakah yang akan mengganti jemaah yang tua ini apabila ajal mereka tiba? Perkara yang menyedihkan ialah orang zaman sekarang akan lebih pantas memenuhi tempat-tempat maksiat dan di tempat-tempat syaitan bermaharajalela. (Akademi Fantasia, Panggung wayang dan tempat-tempat yang dipenuhi oleh lelaki dan wanita yang bukan mahram).

Semoga Allah menyampaikan selawat dan salam kepada Nabi yang kita cintai dan menempatkan kita dibawah naungannya kelak.

Read On......