Wednesday, July 4, 2007

Mandi Tanpa Seutas Benang hukumnya...



Segala puji bagi Allah yang memelihara kerajaan langit dan bumi dan khazanah-khazanah yang ada di antara keduanya. Luas satu rahmatnya ialah jarak di antara langit dan bumi dan rahmatNya lebih besar daripada kemurkaanNya. Allah, Dialah yang Maha Penyayang. Tidak ada sesuatu perkara yang lepas dari pemerhatianNya.

Sebagaimana yang kita maklum, salah satu perkara yang menjurus kepada kebersihan ialah mandi, baik mandi wajib, mandi sunat dan sebagainya. Mandi apapun yang hendak dikerjakan, kita hendaklah mengetahui cara mandi yang sempurna. Barangkali, perkara yang mungkin kita tidak sedari ialah samaada mandi kita itu sah (diterima) atau tidak. Perkara ini hendaklah diambil perhatian kerana jika sekiranya seseorang itu tidak mengerjakan mandi, seperti mandi wajib dengan sempurna, maka, semua amal ibadat yang dilakukannya tidak akan diterima oleh Allah malahan, murka pula yang dilimpahi. Wallahu'alam (Hanya Allah yang lebih mengetahui).

Perkara yang mesti kita sedari tentang mandi ialah tempat mandi di khalayak ramai ataupun tidak. Telah disabdakan oleh Rasulullah saw bahawa seburuk-buruk tempat di dalam rumah ialah jamban. Ini kerana, jamban ialah tempat bagi kita melakukan qada hajat dan sebagainya. Dan jamban ialah tempat (tidur dan sebagainya) tinggal syaitan. Oleh kerana itu kita tidak digalakkan berada di dalam jamban semasa azan sedang dilaungkan kerana syaitan akan berlari masuk ke dalam jamban apabila saja azan kedengaran.

Oleh kerana jamban adalah rumah bagi syaitan, kita hendaklah memastikan badan kita terbuka dan memastikan kita membaca doa sebelum melangkah masuk ke dalam jamban. Sebagai contoh, kita boleh membiasakan diri perkara-perkara yang dilakukan oleh Nabi kesayangan kita seperti melangkah masuk dengan menggunakan kaki sebelah kiri dan keluar dengan kaki sebelah kanan ataupun kita boleh sekurang-kurangnya membaca Audzubillah hi minash shaitan nirrajeem (Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk) dan membaca Alhamdulillah (Segala Puji bagi Allah) apabila keluar daripada jamban. Mungkin ada yang akan bertanya apa halnya jika kita hendak melangkah masuk ke kamar mandi (yang tidak mempunyai jamban). Adab yang sama boleh dipakai kerana kamar mandi lebih kurang sama seperti jamban kerana kamar mandi adalah tempat yang dikira sebagai tempat kita membuang kotoran seperti daki, mencukur dan sebagainya. Syaitan suka kepada benda yang kotor walhal Allah hanya menerima benda yang suci.

Jadi, hukum mandi dalam keadaan telanjang bulat adalah makruh kerana jika seseorang mandi dalam keadaan bogel, ini akan melambangkan seseorang itu tidak ada perasaan malu dan mungkin akan terbawa-bawa ke perkara yang lain. Allah suka kepada orang yang malu kerana ini menunjukkan seseorang yang sentiasa berwaspada dengan keadaan sekililingnya walaupun dalam keadaan bersendirian. Nabi kita sendiri seorang yang sangat pemalu sehingga ada hadis yang meriwayatkan bahawa perasaan malu Nabi kita mengalahkan anak dara sunti. Malu juga adalah salah satu daripada intipati iman.

Banyak adab-adab yang kita mesti ketahui semasa masuk ke jamban adalah banyak dan sebahagian daripadanya adalah seperti yang akan disebutkan. Penggunaan selipar atau alas kaki semasa berada dalam jamban. Hukum bagi masuk ke jamban / bilik mandi tanpa alas kaki adalah makruh hukumnya. Seperti yang sudah kita ketahui, jamban adalah tempat yang kotor dan jika seseorang itu keluar dari jamban, walaupun tidak nampak, tapi besar kemungkinan, kotoran atau najis mungkin akan tersebar di dalam rumah dan ini akan membuat setan gembira kerana dia mempunyai lebih “tempat” untuk menjalankan hasutannya. Dan lagi, mengenai penggunaan air semasa di dalam jamban dan semasa mandi. Hukum menggunakan air secara berlebihan adalah makruh kerana Allah tidak suka kepada orang yang tidak menghargai pemberianNya dan satan sangat suka orang yang membazir dari apa segi jua pun.

Lagi satu perkara yang kita kadang-kadang tidak sedari ialah mandi semasa berada di kawasan umum seperti kolam renang, pantai dan sebagainya. Hendaklah diketahui bahawa Islam melarang umatnya membuka aurat di hadapan orang ramai apalagi di hadapan orang yang tidak dikenali kerana menutop aurat adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berakal. Akhir-akhir ini terdapat banyak cara orang yang bukan Islam coba untuk memesongkan akidah umat Islam dengan mempamerkan aksi-aksi dan adengan-adengan yang membuat orang Islam terikut-ikut dengan budaya barat. Sebagai contoh, kita boleh perhatikan banyak terdapat filem-filem yang beransurkan pantai serta keadaannya sekililing dan selalunya, para pelakonnya akan tidak lepas dari memakai swimming suit/tops/bathing sui/bikini. Kita sebagai orang Islam hendaklah berhati-hati kerana kita mungkin hanya sekadar “melihat” sahaja tapi besar kemungkinan dan tanpa disedari, kita akan perlahan-lahan hanyut dibuai alunan barat yang sesat. Islam melarang tegas umatnya membuka aurat terutama sekali kepada yang bukan mahram (lelaki ataupun perempuan) kerana melihat aurat wanita atau lelaki lain adalah zina. Maksiat ini dipanggil dengan zina mata, kerana seseorang yang ada penyakit dihatinya akan menggambarkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Di dalam Al Qur’an, Allah SWT telah memberi amaran kepada hamba-hambaNya untuk tidak menghampiri zina:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah saru perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan) [Al-Isra:32]

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa peka tentang apa yang kita perhatikan, apa yang kita lakukan dan apa yang kita fikirkan agar kita sentiasa dalam jagaan Allah kerana walau seribu tentara yang menjaga kita tapi tanpa restu dari Tuhan, ianya akan menjadi tidak bermakna sedikit pun. Dengan kata lain, kita hendaklah coba untuk menjaga maruah diri kita agar kita tidak dipadang rendah oleh manusia apa lagi di mata (pandangan) Allah. Ingatlah bahawa malu itu separuh daripada IMAN. . .


Read On......