Khuysuk lwn sempurna
Allah mendengar hambaNya yang memujiNya dan saat yang paling dekat Pencipta dan hambaNya ialah semasa sujud. Kita hendaklah merasa kehambaan yang sebenar-sebenarnya semasa sujud kerana jika seseorang itu sujud dengan khusyuk, insya Allah, solat yang dilakukan itu akan lebih berkesan yang positif baik dari segi kelakuan, percakapan, pergaulan dan sebagainya. Jika seseorang itu khuysuk, maka, apa sahaja yang dibuat akan diatur dengan perancangan yang rapi, dilaksanakan dengan teliti, dan terutama sekali berserah diri kepada Ilahi. Jika sesuatu perkara itu berhasil, maka ia akan mengucapkan terima kasih kepada Allah dengan meningkatkan lagi usahanya untuk menambah amal dan ibadatnya. Jika gagal, dia masih mengucapkan syukur kepada Allah. Kerana apa? Kerana, kegagalan itu akan diterima dengan tangan yang terbuka dan lapang dada.
Dalam membuat sesuatu pekerjaan, kita perlu menumpukan perhatian agar apa yang kita lakukan itu akan sempurna. Jika diperhatikan, khuysuk dan sempurna adalah sesuatu yang selari kerana boleh jadi kita khusyuk tapi ianya tidak bermaksud sempurna dan sesuatu mungkin nampak sempurna tapi boleh jadi tidak dilakukan dengan khuysuk. Sebagai contoh, semasa kita sujud, terdapat 7 adab agar sujud itu sempurna seperti sabda Rasulullah saw:
"Aku diperintahkan sujud di atas tujuh tulang iaitu: pada dahi dan Baginda menunjuk dengan tangan Baginda kepada hidung Baginda, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua telapak kaki..." (HR Bukhari)
Orang yang semasa sujud mungkin sudah melakukan semua perkara di atas tetapi mungkin orang tersebut belum tentu khuysuk kerana anggotanya mungkin sempurna secara zahir tetapi secara batin, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Ini adalah khuysuk yang mengandungi nifaq (munafik). Perkara ini selaras dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw:
"Khuysuk yang mengandungi nifaq ialah pada zahirnya anggota badan nampak seolah-olah khuysuk sedangkan hati tidak ada khuysuk" (Petikan buku Fadhilat Amal)
Besar kemungkinan, ada diantara kita yang merasa kita akan selamat dari seksaan di akhirat apabila kita sudah melakukan solat
Cara yang terbaik untuk memastikan kita tidak terjebak dalam keadaan demikian ialah dengan meningkatkan usaha kita untuk memperbaiki solat kita semua; mengetahui bacaan2 dan zikir2 dalam solat, menghayati erti maksud yang tersirah dalam surah2 yang dibaca semasa solat, menumpukan perhatian kepada tempat sujud dan seterusnya.
Barangkali, banyak di antara kita yang tidak tahu bahawa perasaan yang sepatutnya hadir semasa solat ialah perasaan TAKUT dan HARAP. Takut secara umum ialah takut kepada sesuatu yang akan membuat kita memekik meminta tolong atau takut kepada binatang seperti buaya dan harimau atau takut jika sekiranya gagal dalam peperiksaan dan sebagainya. Harap pula bermaksud, harap yang kita akan lulus dalam sesuatu usaha atau harap untuk dinaikkan pangkat dan sebagainya. Takut yang khusus ialah takut jika sekiranya amal dan ibadat kita tidak diterima Allah. Harap pula bermaksud, kita berharap kepada Allah SWT supaya Dia menerima solat yang kita kerjakan. Rancang, ikhtiar & usaha, tawakkal dan istiqomah, insya Allah.
"Dan orang yang memelihara solahnya, mereka itu dimuliakan dalam syurga." [Al-Ma'arij: 34-35]