Saturday, June 23, 2007

Beg Kosong



Allah, Dialah Tuhan yang Esa, Tiada yang patut disembah melainkan Dia dan kepadaNya kita semua akan dikembalikan. Keagungan, Kebesaran, Kekuasaan & Kesempuranaan adalah kepunyaanNya. Semua urusan dunia mahupun akhirat ada ditanganNya. Segala ciptaanNya tidak akan dapat membawa mudharat kepada kita melainkan dengan kehendaknya. Kita berkehendak kepadaNya dan kefasikan atau kekafiran hambaNya tidak akan mengugatNya. Dialah Tuhan yang berdiri dengan sendiri, tiada sekutu bagiNya dan hanyalah tertumpu segala hajat, maksud dan harapan.

Sesuatu yang hidup pasti akan mati. Ajal (kematian) adalah sesuatu yang hanya Allah yang mengetahui dan tidak seorang pun yang mengetahui bila malaikat maut akan menjemput. Apabila ajal tiba, seseorang tidak akan dapat menahan, menganjakkan ataupun mengundurkan kematian. Ianya akan datang dengan tiba-tiba. Akhir-akhir ini, kita biasa mendengar tentang mati 'mengejut' yang disebabkan oleh faktor-faktor seperti jantung, kemalangan dan sebagainya. Mudah-mudahan Allah menempatkan mereka yang sudah kembali ditempat yang bersesuaian dengan amalannya.

Nabi Muhammad saw, penutup segala nabi pernah bersabda yang kira-kira bermaksud, "sebaik-baik kamu ialah mereka yang mempersiapkan diri bagi menghadapi kematian..". Tidak dapat dinafikan, banyak di antara kita yang mabuk dengan kehidupan dunia yang banyak dengan tipu helah dan ni'mat dunia. Memang, dunia memang nampak seperti sesuatu yang indah lagi menyeronokkan bagi orang biasa. Orang yang istimewa akan membuat dunia seperti gudang atau pusat untuk menuntut/mencari ilmu, mempratikkan ilmu yang dipelajarinya dan meyebarkannya kepada yang tidak tahu.

Untuk memperoleh kejayaan, perancangan yang teliti dan rapi hendaklah dibuat. Setiap pekiraan, setiap gerak geri musuh atau lawan hendaklah diperhatikan dengan terperinci. Hatta, sehinnga ke perkara yang kecil pun mesti dilihat. Semasa di zaman salah seorang khalifah Islam, tentera di bawah kawalannya telah dikerahkan untuk menyerang dan menakluki sebuah kawasan musuh. Akan tetapi tenteranya tidak dapat menakluki kawasan tersebut. Khalifah sangat hairan bagaimana ini boleh terjadi. Maka, Kahlifah pun bertanya kepada salah seorang orangnya. Hendaklah diketahui bahawa kawalan dibawah khalifah tersebut sangat teliti; sumber makanan dipastikan halal dan tukang masaknya pula mesti beragama Islam, sembahyang yang dilakukan mesti mengikut waktu dan berjemaah. Selepas ditanya kepada orang itu, khalifah pun masih kehairanan kerana semua yang dirasanya patut dibuat dan sudah disediakan sudah terlaksana. Akhirnya, khalifah tersebut pun bertanya soalan berikut, "Adakah kamu memberus gigi sebelum solat?". Lalu orang itu menjawab, "Tidak...". Sejak itu, khalifah itu menyuruh agar semua orang-orangnya memberus gigi sebelum solat. Pada hari berikutnya, khalifah pun menyuruh tenteranya menakluki kawasan yang gagal itu. Akhirnya, dengan kuasa Allah mereka pun berjaya menakluki kawasan tersebut itu...

Dari kejadian di atas, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa, setiap sesuatu perkara hendaklah dibuat dengan sempurna kerana kersempurnaan itu adalah tangga kejayaan! Kita sebagai hamba Allah yang telah dipinjamkan dengan ni'mat yang banyak hendaklah memastikan yang setiap anggota kita dijaga dengan bersih (gigi, kuku, rambut, telinga, hidung dan sebagainya) kerana setiap sesuatu memainkan peranan yang mustahak bagi mengecapi kejayaan yang mutlak.

Barangkali, ada di antara kita yang gagal disebabkan oleh perkara-perkara yang remeh di mata kasar. Ingatlah, hanya Allah yang mengetahui segala sesuatu. Kita mungkin gagal dalam peperiksaan kerana tidak peduli dengan suruhan Tuhan walaupun kita sudah belajar dengan sepenuh hati. Kedua suami isteri mungkin masih tidak mempunyai anak kerana prihatin dengan kewajipan yang sepatutnya dilaksanakan. Kadang-kadang, banyak pasangan baru kahwin, tidak menunaikan kewajipannya TAPI boleh mendapat anak. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya. Pasangan tersebut mungkin diuji oleh Allah samaada mereka bersyukur atau masih kufur. Kita hendaklah mengetahui hakikat sebenar kehidupan. Apa sahaja perkara yang baik atau yang buruk yang menimpa kita datang dari Allah dan ianya adalah sebagai ujian bagi kita semua.

Kita tidak patut berasa hairan bagaimana orang-orang kafir diseluruh dunia memperoleh kekayaan yang sangat sehinggakan baru-baru ini, ada di antara mereka yang boleh membeli sebuah pulau disuatu kawasan yang tidak diketahui tempatnya. Allah memberikan ni'mat kepada mereka kerana Tuhan bersifat Pemurah dan setiap hambaNya di muka bumi ini sudah ditentukan rezeki masing-masing. Tapi! perlu diingat bahawa orang-orang kafir diberikan ni'mat yang melimpah ruah kerana semasa hari Kiamat nanti mereka tidak akan dapat menuntut semua kebaikan yang mereka lakuakan di dunia. Kerana itu, Allah akan membalas kebaikan orang kafir di dunia sahaja kerana kelak mereka semua akan dimasukkan ke dalam neraka selama-lamanya.

Allah sebenarnya sangat sayang kepada hamba-hambaNya yang mengikut suruhannya dan menjauhi larangnya kerana semua kebaikan yang kita niatkan untukNya akan dibalas di dunia atau semasa di akhirat kelak. Tapi, kadang-kadang, ada di antara kita yang mungkin berputus asa dengan nasib yang ada pada dirinya. Ini sebenarnya hasutan dari syaitan yang terkutuk. Syaitan akan membuat kita merasa berputus asa apabila sesuatu tidak kesampaian atau tidak berhasil. Semoga Allah menjauhkan kita dari bersikap sedemikian kerana sifat yang tercela ini lebih sesuai bagi orang yang kufur. Balasan yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya yang beriman akan dibalas dengan ni'mat yang lebih berkekalan iaitu syurga yang penuh dengan ni'mat yang tidak boleh dicerna oleh akal kita yang terkawal.

Rasulullah saw pernah bersabda yang kira-kira bermaksud, "berjalanlah kamu dimuka bumi Allah seperti seorang perantau atau pengembara..". Hadis tersebut mempunyai maksud yang luas dan boleh digunakan di dalam hidup kita sehari-hari. Sebagai contoh, jika kita seorang pekerja, kita hendaklah merasakan kita sentiasa penuh dengan kekurangan & kelemahan kerana dengan kekurangan kita akan dapat belajar dan memperbaiki keadaan kita. Ingatlah, ilmu Tuhan meliputi langit dan bumi dan apa yang diberikan kepada kita adalah sedikit sekali.

Sebagai hamba Allah yang daif dan lemah, kita hendaklah meminta kepada Allah agar Dia memberikan sedikit daripada hikmah dan kelebihannya agar kita dapat menghadapi dunia dengan berfikiran yang terbuka dan waras dan tidak bertindak mengikut urutan hawa nafsu. Setiap amal dan kebajikan adalah seperti pelaburan. Pelaburan yang mengaut hasil yang besar di akhirat kelak. Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha dengan gigih untuk memenuhi beg-beg kita kerana Allah..

Read On......