Monday, July 2, 2007

Alasan apa



Semua kejadian samaada yang baik ataupun tidak datang dari Allah yang mengetahui segala rahsia di langit dan juga di bumi. KekuasaanNya tidak ada batas. Dialah Dzat yang sempurna, mustahil Allah mempunyai kekurangan, kecatatan ataupun kelemahan sepertimana yang dimiliki oleh manusia. Dialah Raja bagi Hari Pembalasan dan semasa di mahkamah Allah, setiap orang akan mendapat balasan bagi apa yang dikerjakannya. Semua kebaikan yang kita kerjakan yang ikhlas keranaNya akan dibalas dengan balasan yang sebaik-baiknya, iaitu syurga manakala semua kejahatan yang kita ketahui atau tidak akan mendapat balasan yang sesuai dengan kejahatan itu. Allah tidak akan menganiaya hamba-hambaNya tapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. Dialah Allah, Tuhan yang kita cintai, Tuhan yang bersifat Lemah Lembut kepada semua mahkluk ciptaanNya.

Nabi yang kita sanjung, Nabi Muhammad adalah hamba Allah seperti kita tetapi Allah telah memilih Baginda sebagai kekasihnya dan juga menjadi pesuruhNya untuk menyampaikan amanat-amanat yang telah diberikan kepadanya. Dialah penutup segala nabi dan dialah Nabi yang akan memberi syafa'at (pertolongan) kepada umatNya yang patuh kepada semua ajaran-ajaran yang telah disampaikannya, insya Allah. Sebahagian daripada amanah yang disampaikan oleh Baginda yang wajip kita kerjakan adalah seperti mengucap dua kalimah syahadah, mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa dibulan ramadhan, membayar zakat & mengerjakan haji (bagi yang berkemampuan).

Sepertimana yang kita ketahui, semua kewajiban di atas telah disampaikan kepada Rasulullah melalui perantaraan, Malaikat Jibrail, yang salah satu tugasnya ialah menyampaikan wahyu kepada Nabi dan Rasul. Tapi, terdapat salah satu kewajipan yang telah diwajibkan sendiri oleh Allah iaitu semasa malam Nabi Muhammad diangkat ke langit, iaitu sembahyang lima waktu sehari semalam. Perisitiwa tersebut ialah Isra Mi'raj yang berlaku pada 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad saw.

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Al-Israa’: 1].

Terdapat banyak peristiwa yang luar biasa yang berlaku pada malam tersebut seperti ditunjukkan balasan bagi orang yang tidak melakukan sembahyang, balasan bagi orang yang berzina, balasan bagi orang yang meminum arak, balasan bagi orang yang mengadu domb a (hasut menghasut) dan banyak lagi. Daripada peristiwa tersebut, kita boleh mengambil banyak iktibar dan pelajaran yang boleh membuatkan pendirian kita lebih kukuh dan boleh memberi semangat untuk memperkuatkan lagi amalan dan ibadah kita kepada Allah yang kita cintai. Peristiwa tersebut juga adalah sebagai anugerah yang paling tertinggi sekali yang diberi oleh Allah kepada Nabi kesayangan kita. Di malam itulah Allah memperlihatkan kepada Baginda Kebesaran, Keagungan dan Kekusaaan-Nya.

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.” [An-Najm: 13-18].



Tidak mustahil, ada di antara umat Islam yang mungkin tidak dapat menerima hakikat perjalanan Rasulullah saw. Akan tetapi, kita sebagai umat Islam wajib percaya tentang kejadian itu tanpa ragu sedikit pun. Ini adalah salah satu daripada cabang Iman, iaitu beriman beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman kepada Nabi-nabi, beriman kepada kitab-kitab, beriman kepada Qada' dan Qadar' dan beriman kepada Hari Kiamat. Beriman disini bermaksud, mengakui dengan melalui perbuatan, hati dan lisan. Sebagai contoh, beriman kepada Allah ialah dengan mengakui dengan mengucap dua kalimah syahadah (lisan), mengerjakan kewajipan seperti sembahyang lima waktu (perbuatan) dan menjauhi segala maksiat dan perkara yang mungkar. Beriman kepada Allah juga memebawa maksud mengenal nama-nama Allah yang terpuji, sifat-sifat yang wajib dan mustahil. Untuk menyempurnakan kedua-dua perkara tersebut, kita hendaklah melakukan ucapan dan perbuatan tersebut hanya kerana Allah dan kerana untuk mengharapkan keredhaanNya, ini adalah niat kerana Allah Ta'ala.

Jadi, kita sebagai umat Nabi Muhammad hendaklah memastikan sembahyang kita adalah sembahyang yang sebenar-benarnya kerana sembahyang itu adalah perintah yang datang dari Allah SWT. Dengan kata lain, sembahyang lima waktu adalah hak Yang Maha Pencipta. Sebagai misalan, hak seorang pekerja ialah, apabila selesai mengerjakan tugasan/kerja yang disuruh, pasti akan menerima upah/gaji dan jika gaji pekerja tidak diterima pada masa yang ditetapkan, pekerja tersebut mungkin akan marah dan melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab dalam mengedalikan dalam hal-hal demikian. Jadi, alasan apakah yang akan kita berikan kepada Tuhan bila ditanya, "kenapa kamu tidak mengerjakan sembahyang semasa di dunia?"


Read On......